7 Rahsia Elak Rambut Gugur
“Cemburunya kalau tengok rambut orang lain… Lebat, sihat, siap berkilau-kilau lagi. Nak kata pakai rawatan mahal, tidak juga. Nak tanya malu pula… Apa agaknya rahsia mereka ya?”
Sebenarnya, mereka yang memiliki rambut sihat ini tidak semestinya membelanjakan ribuan ringgit untuk penjagaan rambut. Tetapi, terdapat amalan tertentu yang dilakukan sehingga rambut menjadi sihat dan bermaya.
Nak tahu rahsianya?
7 Rahsia Elak Rambut Gugur
1. Rawatan Minyak Panas
Banyak jenis minyak amat sesuai untuk rambut anda seperti minyak kelapa dan minyak zaitun. Untuk mendapatkan kesan yang maksimum, cuba panaskan sedikit minyak tersebut agar ia mencapai suhu suam.
Kemudian, lumurkan di seluruh kepala dan biarkan selama lebih kurang 1 jam menggunakan ‘shower cap’. Kemudian, bilas dan basuh menggunakan syampu. Pasti kelembutannya terasa serta-merta!
2. Urutan Kepala
Oh ya, sambil anda melumurkan minyak pada kepala, jangan lupa mengurut-urut kulit kepala anda buat beberapa ketika. Tindakan ini akan membantu menstimulasikan peredaran darah.
Apabila peredaran darah lancar, folikel akan menjadi aktif dan merangsang lebih banyak pertumbuhan rambut baru secara sihat.
Lakukanlah urutan ini setiap hari, walaupun semasa bersyampu di bilik mandi!
3. ‘Lepaskan’ Rambut Tanpa Dandanan Berat
Bagi anda yang sentiasa menggayakan rambut, berilah sedikit masa untuknya ‘berehat’. Elakkan daripada menggunakan ‘hair dryer’ atau ‘iron’ rambut terlalu kerap kerana tindakan haba ini mampu memberi kesan kepada sel rambut sehingga ia menjadi rapuh dan kering.
Walaupun dengan melonggarkan ikatan rambut, ianya dapat memberi kelegaan dan mempertingkatkan kualiti pertumbuhan rambut.
Lebih baik lagi jika anda dapat mengeringkan rambut secara semulajadi dan hanya menyikatnya apabila rambut kering.
4. Mengambil Makanan Tinggi Zat Besi dan Protein
Seperti bahagian tubuh badan yang lain, rambut juga memerlukan nutrien tertentu untuk pertumbuhan yang sihat dan lebat.
Antara makanan berprotein yang bagus untuk diamalkan ialah daging, telur, kekacang, dan roti gandum, dan brokoli. Makanan yang kaya zat besi pula adalah ayam, ikan, dan bayam.
5. Mengurus Stres
Percaya atau tidak, stres adalah salah satu punca penyakit yang paling biasa di kalangan manusia.
Ia bukan sahaja mencetuskan emosi negatif, tetapi ia juga akan menjadikan kita melakukan perkara-perkara negatif sebagai respon terhadapnya.
Oleh itu, pastikan anda tahu cara mengurus stres dengan menguruskan jadual sebaik mungkin, bersenam, menjalinkan hubungan yang baik antara keluarga dan rakan, dan sentiasa mendapatkan rehat yang cukup.
6. Tidak Menggunakan ‘Conditioner’
Tahukah anda, mengabaikan penggunaan ‘conditioner’ adalah salah satu kesilapan yang paling biasa dilakukan oleh mereka yang berambut nipis. Rambut nipis biasanya sangat mudah menjadi rapuh atau putus, jadi sebab itulah anda memerlukan ‘conditioner’ yang dapat mengelakkannya daripada kering.
Cari ‘conditioner’ yang mempunyai kandungan panthenol dan glycerin kerana ia membantu melembapkan serta mengukuhkan struktur rambut.
7. Jadikan Buah-buahan Teman Karib Anda
Buah-buahan yang kaya dengan vitamin bukan saja baik untuk dimakan, tetapi ia juga boleh digunakan pada rambut untuk memelihara kesuburannya.
Tomato, oren, lemon, blueberi, atau strawberi adalah antara buah-buahan yang tinggi kadar vitamin C. ia juga sedap dijadikan ‘smoothies’ atau jus!
Penjagaan Rambut Bermula Dari Awal
Sama ada anda lelaki atau perempuan, bertudung atau tidak, pastikan anda tahu cara untuk menjaga rambut kerana ia adalah sebahagian penting daripada diri anda.
Oleh itu, ambillah langkah pencegahan sebelum keguguran rambut mula berlaku!